PARA pengguna mempunyai hak memilih dan membuat keputusan pembelian berdasarkan kemunasabahan harga, kuantiti, kualiti dan tawaran alternatif sedia ada.
Menurut Bahagian Analisis Ekonomi dan Data Strategik, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi satu kenyataan pada Rabu, pengguna perlu memainkan peranan dan menggunakan kuasa beli mereka bagi meminimumkan impak inflasi.
Inflasi terjadi akibat kenaikan harga yang berlaku pada barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.
Ujar kenyataan itu lagi, untuk menjadi seorang pengguna yang bijak, mereka perlu mengubah tingkah laku terutama corak pembelian dengan mengutamakan barangan keperluan dan bukannya berdasarkan kehendak semata-mata.
"Elakkan pembelian panik dan pembelian gerak hati kerana apabila ramai pengguna melakukannya, ini akan melonjakkan harga. Jadi bertenang dan berfikir dahulu sebelum belanja dan buang tabiat berbelanja sesuka hati tanpa perancangan terutama yang di luar dengan kemampuan anda.
"Pengguna bijak harus sedar mereka sebenarnya mempunyai pilihan dan ‘kuasa beli’ dalam mencorak permintaan dan penawaran di pasaran yang mampu mempengaruhi turun naik harga barangan serta perkhidmatan,” jelas kenyataan terbabit.
Tambah kenyataan itu lagi, pengguna juga disaran membandingkan harga sebelum membuat pembelian menerusi aplikasi PriceCatcher yang diperkenalkan KPDNHEP bagi membantu pengguna membuat perbandingan lebih 400 barangan keperluan harian.
Aplikasi berkenaan merupakan hasil usaha lebih 1,000 pegawai pemantau harga KPDNHEP yang mengumpul maklumat harga harian di premis peruncitan di seluruh Malaysia, termasuk pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pasar basah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram