Lima perlawanan EPL ditangguh


  • Podium
  • Jumaat, 17 Dis 2021

LIMA perlawanan ditangguh, manakala dua lagi tetap berlangsung Sabtu ini. — Agensi

LIGA Perdana Inggeris mengesahkan sebanyak lima perlawanan terpaksa ditangguhkan pada hujung minggu ini.

Dalam satu kenyataan, Liga Perdana menjangka bahawa para peminat bola sepak akan kecewa dengan penangguhan itu serta meminta maaf atas segala kesulitan dan gangguan.

"Lembaga Pengarah telah bersetuju untuk menangguhkan perlawanan selepas menilai permintaan setiap kelab," katanya.

Katanya, penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira faktor penularan wabak Covid-19, bilangan pemain tidak cukup selain kecederaan beberapa pemain.

Antara kelab yang menghadapi penularan Covid-19 berterusan termasuk Brentford FC, Watford FC, Norwich City FC dan Leicester City FC, manakala tempat latihan mereka ditutup bagi mengawal wabak itu.

Selain itu, Watford FC, Norwich FC dan Leicester FC turut tidak mempunyai bilangan pemain yang mencukupi bagi memenuhi perlawanan mereka.

Malah, Norwich City FC juga mempunyai kekangan apabila pemainnya mengalami kecederaan dan menghidap penyakit lain.

"Lembaga Pengarah menilai permohonan untuk menangguhkan perlawanan mengikut kes, berdasarkan peraturan sedia ada dan panduan penangguhan Covid-19 yang dikeluarkan kepada semua kelab.

"Ia akan menilai beberapa faktor, termasuk keupayaan kelab untuk menurunkan pasukan; status, tahap keterukan dan potensi kesan wabak Covid-19 di kelab; dan keupayaan pemain untuk membuat persediaan dan bermain dengan selamat," kata kenyataan itu.

Katanya, kesihatan dan kesejahteraan semua pemain dan kakitangan menjadi keutamaan yang mana peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini menjadikan Liga Perdana memperkenalkan semula Langkah Kecemasan.

"Ini termasuk protokol seperti ujian yang lebih kerap, memakai penutup muka semasa berada di dalam rumah, memerhatikan penjarakan sosial dan mengehadkan masa rawatan," katanya.

Antara perlawanan yang ditangguhkan pada Sabtu adalah antara Southampton menentang Brentford, serta Watford menentang Crystal Palace.

Turut ditangguhkan adalah perlawanan antara West Ham menentang Norwich, serta Everton menentang Leicester City.

Malah, peminat juga tidak berpeluang menyaksikan aksi perlawanan Manchester United menentang Brighton pada hujung minggu ini.

Namun, perlawanan antara Leeds dan Arsenal, serta Aston Villa menentang Burnley akan tetap berlangsung. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram