Bukti baharu akan dikemuka dalam rayuan kes SRC — Shafee


SHAFEE berkata, untuk keterangan baharu itu, beliau berharap ia dapat difailkan dalam tempoh dua bulan. — The Star

PASUKAN pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuat permohonan bagi memasukkan bukti baharu yang belum didedahkan selama ini dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Ketua Peguam Bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya bagaimanapun tidak boleh memperincikan bukti baharu tersebut ia memandangkan masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

"Kita ada dapat desas-desus maklumat baharu yang datang kepada kita yang sebelum tidak diberitahu oleh mana-mana pihak sama ada daripada pendakwaan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Keterangan ini saya tak boleh perincikan sebab perlu disahkan. Kalau tidak cakap main atas angin sahaja. Jadi keterangan ini kita akan masukkan sebagai notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan," katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Jumaat.

Shafee berkata, untuk keterangan baharu itu, beliau berharap ia dapat difailkan dalam tempoh dua bulan.

"Kadangkala nak cari dokumen dalam keadaan banyak pihak berkuasa secara aktif menyembunyikannya daripada pasukan pembelaan, ia agak susah nak pecah jalan.

"Tapi insya-ALLAH kita ada dapat dalam jangka masa dua bulan," katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya juga sudah memfailkan keenam-enam notis rayuan termasuk rayuan utama kepada Mahkamah Persekutuan pada 8 dan 15 Disember lalu.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram