Hakim kes 1MDB perlu ambil kira perbicaraan secara hibrid — Shafee


NAJIB dan Shafee (kanan) dihalang daripada memasuki kompleks mahkamah memandangkan status MySejahtera mereka diletakkan sebagai 'Kontak Kasual'. — The Star

PEGUAM utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meminta hakim lebih bertolak ansur dalam mengendalikan perbicaraan kes itu dengan mengambil kira situasi pandemik di mana semua orang bergelut dengan Covid-19.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, di pihaknya juga, semua kakitangan di firma guamannya dengan kira-kira 90 peratus terlibat dalam kes 1MDB akan menjadi kes suspek Covid-19 jika terdedah kepada pembawa virus itu.

"Saya harap pada masa hadapan, semua hakim-hakim akan mengambil kira situasi apabila seseorang peguam atau orang kena tuduh (OKT) menjadi kontak kes Covid-19, saya rasa kita boleh siasat dengan siapa mereka terdedah, bila, lokasi, masa dan butiran berkaitan.

"Cara ini boleh dibuat dengan senang sahaja, bukan susah pun. Kalau kita tahu perkara ini benar, maka kita mesti beri laluan (perbicaraan secara hibrid). Hakim kena ambil kira hal ini walaupun ia mungkin menjengkelkan.

"Kalau kita lihat daripada apa yang tercatit dalam Seksyen 15A yang mengatakan bila nak gunai pakai remote hearing atau hibrid, ia mesti dalam interest of justice.

"Bukan kita minta nak jadi kontak Covid-19 tetapi perkara ini terjadi. Situasi ini pun pernah berlaku satu ketika di mana satu tingkat di (pejabat) Peguam Negara, semuanya terjejas akibat Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara maya bersama media berhubung perkembangan perbicaraan kes Najib pada Jumaat.

Pada masa sama Shafee berkata, beliau berharap tiada tekanan diberikan kepada hakim yang mengendalikan perbicaraan kes itu untuk mempercepatkan perbicaraan ekoran beberapa kali tertangguh akibat pandemik.

"Saya tidak merasakan hakim mengabaikan arahan daripada Kementerian Kesihatan berhubung status individu yang terlibat dengan Covid-19. Dia mungkin bukan sengaja mengabaikan tapi mungkin ada tekanan tertentu sebab perjalanan kes ini kurang lancar ekoran pandemik.

"Jadi saya harap tiada tekanan diberikan dalam soal ini. Mungkin tiada tekanan tetapi kalau ada, ia adalah sesuatu yang akan memudaratkan sistem kehakiman, jadikan ia rosak seterusnya kita tidak lagi keadilan," katanya.

Pada 14 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pihak pendakwaan agar perbicaraan Najib berhubung 1MDB dijalankan secara hidbrid.

Bagaimanapun dalam keputusan ringkasnya, Hakim Collin Lawrence Sequerah menyatakan, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengadakan prosiding secara hibrid pada masa hadapan.

Najib tidak dibenarkan untuk memasuki kompleks mahkamah selepas status MySejahteranya bertukar daripada 'Individu Dalam Pemerhatian’ kepada ‘Kontak Kasual’.

Shafee juga dihalang daripada memasuki kompleks mahkamah memandangkan status MySejahteranya diletakkan sebagai 'Kontak Kasual'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram