PAKAR perubatan menolak dakwaan kononnya pengambilan suntikan dos penggalak secara heterologous (campuran) memberi kemudaratan kepada kesihatan.
Bahkan, pemberian vaksin secara campuran itu bukanlah satu propaganda untuk menjadikan penerima vaksin di negara ini sebagai bahan ujikaji atau tikus makmal seperti dakwaan sesetengah pihak.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pengambilan dos penggalak sebaliknya mampu meningkatkan kembali kadar imuniti rendah selepas keberkesanan vaksin semakin menurun.
"Menerusi kajian yang dijalankan didapati pemberian booster vaksin Covid-19 secara heterologous memberi respons imuniti lebih tinggi dan baik, malah tiada kesan sampingan negatif atau buruk," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, tempoh pemberian vaksin penggalak seperti yang disarankan kerajaan kepada penerima lengkap dua dos imunisasi juga merupakan masa bersesuaian berdasarkan vaksin masing-masing.
"Kajian menunjukkan tempoh sesuai untuk disuntik booster ialah tiga bulan selepas dos kedua bagi penerima Sinovac dan enam bulan bagi penerima vaksin Pfizer.
"Ini masa yang sesuai sebelum imuniti tubuh semakin menurun. Justeru, sangat penting perlunya diberikan dos penggalak selepas tiga hingga enam bulan disuntik vaksin supaya kadar keberkesanannya dapat ditingkatkan semula," katanya.
Dalam pada itu, Prof Dr Moy Foong Ming seperti dipetik berkata, vaksin penggalak Pfizer, misalnya, akan menghasilkan tahap keberkesanan sehingga 95 peratus kepada penerima Sinovac.
"Pengambilan dos penggalak juga mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian berkaitan Covid-19," katanya.
Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tiga jenis vaksin disyorkan sebagai dos penggalak kepada semua penduduk berumur 18 tahun ke atas.
Katanya, dos itu ialah vaksin Comirnaty, AstraZeneca dan CoronaVac dengan keutamaan janji temu diberikan mengikut turutan umur, petugas barisan hadapan, individu dengan komorbiditi, wanita hamil dan keperluan ke luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram