Kes kedua Omicron di Malaysia libat budak lapan tahun


  • Primer
  • Khamis, 16 Dis 2021

KONTAK rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan kes kedua varian baharu Omicron melibatkan kanak-kanak perempuan warganegara berusia lapan tahun yang menetap bersama keluarga di Lagos, Nigeria.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kes tersebut tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

"Keputusan ujian RT-PCR Covid-19 ke atas kes sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif dan hanya didapati positif Covid-19 melalui keputusan ujian RT-PCR semasa ketibaan pada 7 Disember 2021

"Ahli keluarganya yang lain turut menjalani ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian serta diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kes tidak mempunyai gejala dan diarahkan menjalani pengasingan kendiri di rumah selama 14 hari.

"Kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

"Semua ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari kesebelas menunjukkan keputusan negatif," katanya.

Tambah Khairy, ujian RT-PCR Covid-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan dan ketiga-tiganya tidak bergejala serta diarahkan menjalani arahan kuarantin selama 14 hari.

"Bapa kes pula telah tiba di Malaysia pada 12 Disember 2021 dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta. Ujian RT-PCR bapa kes pada hari ketibaan adalah negatif.

"Terdapat seramai 35 orang kontak dalam penerbangan iaitu empat baris tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri, dan sebelah kanan. Keputusan ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelima bagi kesemua kontak ini adalah negatif," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram