SYARIKAT peruncitan terkemuka, AEON CO. (M) Bhd dan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON) terus melebarkan sayap dalam merealisasikan iltizamnya untuk mengutamakan para pelanggan dengan melancarkan Kempen Selamat & Jimat meliputi dua teras bagi memberikan manfaat yang relevan lagi berterusan kepada para pelanggan di Malaysia.
Dua teras Kempen Selamat & Jimat yang dilaksanakan sehingga 28 Februari 2022 ialah #AEONHargaJamin dan #AEONJaguhPerlindungan.
Timbalan Pengarah Urusan AEON, Tsutomu Motomura ketika melancarkan kempen itu pada Selasa berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambah kepada para pelanggan kerana sedar akan cabaran yang dihadapi oleh rakyat ekoran daripada pandemik.
"Kami bersyukur kerana #AEONHargaJamin berjaya dilancarkan untuk membantu meringankan kos harian kehidupan. Kami yakin usaha ini mampu membantu rakyat dalam mengharungi cabaran inflasi," katanya dalam satu kenyataan.
#AEONHargaJamin memberikan perlindungan dan jaminan harga terhadap inflasi dengan menyenaraikan lebih 500 barangan keperluan asas merangkumi 45 peratus daripada barangan keperluan harian yang sentiasa dicari para pelanggan setiap kali membeli-belah.
Barangan itu termasuklah sayuran seperti sawi kecil, sawi Jepun, kubis, salad Iceberg, timun Jepun serta beberapa jenama beras popular seperti Sunwhite, Jasmine, Birds of Paradise dan Sumo Calrose dengan berat timbangan 2 kilogram (kg), 5kg dan 10kg.
Selain itu turut disenaraikan ialah minyak masak jenama Buruh, Saji, Knife dan Naturel serta telur ayam segar pelbagai gred.
Para pelanggan AEON yang memegang kad keahlian AEON Member Plus akan mendapat lebih penjimatan apabila berbelanja di cawangan-cawangan AEON ataupun secara dalam talian kerana kesemua barangan tersenarai telah diberikan perlindungan jaminan harga daripada inflasi.
Para pelanggan yang belum mendaftar sebagai ahli AEON Member Plus juga boleh menikmati keistimewaan ini apabila melakukan pembelian atas talian menerusi myAEON2go.com atau pun menggunakan aplikasi myAEON2go yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play Store.
"AEON sentiasa komited untuk mengutamakan para pelanggan kami dan pada masa sama, amat penting bagi kami untuk memastikan kelestarian syarikat. Perkara inisama penting jadi perlu diseimbangkan dengan baik untuk terus maju bersama," ujar Tsutomu.
Sementara itu, mengulas mengenai #AEONJaguhPerlindungan, Tsutomu berkata, teras tersebut menyaksikan komitmen berterusan AEON untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang baik dan menyenangkan kepada para pelanggan dalam suasana yang bersih, selesa dan terkawal.
"Dalam memastikan kesejahteraan semua, hampir keseluruhan AEON Warriors serta ekosistemnya telah divaksin, kerja-kerja pembersihan dan pembasmian pula diadakan secara berkala di kesemua cawangan AEON.
"Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di setiap cawangan AEON juga dijalankan dengan ketat termasuklah pemeriksaan suhu dan rekod mySejahtera di pintu masuk, pengumuman peringatan tentang SOP dimainkan secara berkala dan cecair pembasmian kuman sentiasa disediakan,” katanya.
Setakat ini, hampir 98 peratus kakitangan AEON telah lengkap vaksinasi dengan mendapat dua dos suntikan imunisasi Covid-19 seperti saranan kerajaan.
Tambah AEON, inisiatif-inisiatif yang dijalankan ini adalah sejajar dengan usaha AEON untuk memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan ke-12 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.
Matlamat ini memberi tumpuan ke arah memastikan corak penggunaan dan pengeluaran mampan selain penggunaan sumber baik, meningkatkan kecekapan tenaga, infrastruktur mampan serta menyediakan akses kepada perkhidmatan asas, kelestarian dan memastikan kualiti hidup lebih baik untuk semua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram