Gaduh kerajaan-kartel antara punca harga ayam naik


  • Tular
  • Rabu, 15 Dis 2021

KERAJAAN akan membawa masuk antara 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku dari luar negara pada Disember bagi mengatasi kekurangan bekalan ayam mentah. — Gambar hiasan/Bernama

VIDEO tular dari seorang lelaki yang dikenali sebagai Baba ayam mendakwa pergaduhan antara kartel (pengeluar) ayam dengan kerajaan merupakan punca kenaikan harga ayam di pasaran.

Menerusi video berdurasi dua minit 34 saat itu, lelaki itu mendakwa, pengeluar ayam telah kehilangan duit dalam nilai yang besar pada tahun lalu ekoran daripada ayam yang tidak terjual akibat lockdown pada ketika itu.

VIDEO dari Baba ayam yang tular di media sosial.

"Jadi pada tahun ini, mereka kurangkan bekalan ayam supaya harga ayam di pasaran akan naik. Sebab itulah sekarang, bekalan ayam tiada di pasaran.

"Kerajaan menyuruh mereka untuk turunkan harga ayam tapi kartel enggan berbuat demikian. Kartel pula menyuruh kerajaan untuk turunkan harga ayam namun kerajaan pun enggan melakukannya," dakwa lelaki itu.

Baba ayam juga mendakwa, disebabkan kedua pihak saling berbalah, kerajaan mengambil langkah untuk mengambil 200 kontena ayam dari luar negara untuk melihat reaksi kartel.

Dalam pada itu, lelaki itu juga menasihati walaupun kartel dan pihak kerajaan bergaduh, mohon jangan jadikan rakyat mangsa.

"Kalau rakyat nak ayam tempatan kena bayar mahal tapi kalau nak murah rakyat perlu membeli ayam import yang tidak pasti proses penyembelihannya," dakwanya di video tersebut.

Tambahnya lagi, proses penyembelihan ayam di Malaysia lebih diyakini kerana diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurutnya, dia mengetahui perkara ini daripada salah seorang lelaki dari Semenyih, Selangor yang sudah terlibat dengan industri pengeluaran ayam lebih daripada 20 tahun.

Terdahulu pada 1 Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membawa masuk antara 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku dari luar negara pada Disember untuk memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ayam, kartel, kerajaan, import