SERAMAI 11 rakyat Indonesia ditemukan lemas di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor apabila bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi awal pagi Rabu.
Kira-kira 14 lagi pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat manakala 25 orang dipercayai hilang.
Bot yang dilapor dinaiki 50 orang pendatang itu dikatakan dari Lombok, Indonesia dan pada masa ini pihak berkuasa Malaysia giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Kesemua pendatang yang terselamat itu dijumpai di pantai berkenaan dan dibawa ke Pos Angkatan Tentera Malaysia Tanjung Sepang, Kota Tinggi, Johor.
Turut ditemukan bertaburan di pesisir Pantai Tanjung Balau adalah barangan peribadi mereka yang menaiki bot itu antaranya dompet, gambar, pakaian dan beg.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak Melaka, dalam kenyataan memaklumkan kejadian dilapor kira-kira 4.30 pagi dan bot itu ditemukan dalam keadaan terbalik dilambung ombak kira-kira 20 meter dari pantai itu.
"Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF (Pasukan Tindak Balas Pantas) dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia serta bantuan daripada pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia bagi menjejak kemungkinan saki baki pendatang tanpa izin di sekitar kawasan tangkapan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor memaklumkan mereka yang ditemukan lemas terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa pada sidang media di lokasi kejadian berkata, operasi mencari dan menyelamat kemungkinan akan mengambil masa kira-kira empat hingga 10 hari bergantung kepada keadaan semasa.
"Siasatan akan dilakukan bagi mencari dalang sindiket yang membawa pendatang tanpa izin yang menaiki bot karam itu,” ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram