Pemandu kontroversi sudah dipanggil polis


  • 112
  • Selasa, 14 Dis 2021

TANGKAP layar rakaman video tular yang menunjukkan dua kenderaan berlanggar akibat salah satu kenderaan dipandu secara melawan arus di Bulatan Cheras. — Facebook

INDIVIDU yang memandu melawan arus di Bulatan Cheras pada Ahad sudah dipanggil oleh pihak polis bagi memberi keterangan berhubung kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 8.28 malam sebelum tular di media sosial.

"Rakaman video yang tular di media sosial (TikTok) berdurasi 1 minit 28 saat menunjukkan satu kemalangan membabitkan dua kenderaan apabila salah satu kenderaan dipandu secara melawan arus.

"Individu yang terbabit dalam kemalangan itu sudah dikesan dan dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sarifudin menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram