4.3 juta golongan B40 belum jalani ujian saringan kesihatan


  • Primer
  • Selasa, 14 Dis 2021

Ketua Pegawai Eksekutif, ProtechtHealth, Datuk Dr. Anas Alam Faizli (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Shahid (tiga dari kanan) ketika menandatangani MoU bagi program PeKa B40.

SEBANYAK 4,370,176 golongan B40 dikesan masih belum menjalani ujian saringan kesihatan sehingga 31 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, ProtectHealth, Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, masih belum ramai yang mendapat kesedaran berkenaan pentingnya menjalani ujian saringan kesihatan.

"Sebenarnya kerajaan telah memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 atau PeKa B40 sejak 15 April 2019 yang bertujuan memberi bantuan kepada golongan B40 mendapatkan ujian saringan kesihatan secara percuma.

"Sehingga 31 November lalu, kita telah bekerjasama dengan pelbagai pengamal perubatan dan rakan strategik lain seperti Felda, LKIM, pejabat Adun dan lain-lain.

"Jalinan kerjasama itu berjaya memanfaatkan lebih 540,000 golongan B40 mendapatkan khidmat kesihatan secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani morandum persefahaman (MoU) di antara ProtectHealth dengan MyFundAction dan Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) di Ruang Event Space, Shah Alam pada Selasa.

Menurut Dr Anas, terdapat empat insentif yang ditawarkan PeKa B40 seperti pemberian alat perubatan kepada seseorang pesakit sehingga RM20,000.

Jelasnya, insentif rawatan kanser berjumlah RM1,000 dan tanggungan tambang pengangkutan sehingga RM1,000 turut diberikan.

"Sebab itu saya menyeru seluruh rakyat Malaysia segera membuat pemeriksaan kesihatan supaya pengesanan terhadap apa-apa penyakit yang dihadapinya dapat diketahui lebih awal.

"Langkah pencegahan atau rawatan awal dapat dilakukan lebih cepat bagi mengelak penyakit terbabit daripada melarat dan sukar diubati," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Shahid berkata, kerjasama adalah untuk menyedarkan rakyat Malaysia betapa pentingnya melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum jatuh sakit.

"Ada beberapa pesakit di bawah program kami tidak mampu membiayai kos rawatan penyakit mereka kerana tidak cukup sumber kewangan.

"Dengan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) ini, kita boleh mendapatkan bantuan daripada ProtectHealth dengan lebih cepat," katanya.

Selain itu, Presiden MyHeart, Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili berkata, kerjasama dengan ProtectHealth juga akan membuka lebih ruang kepada kelompok sasaran mereka untuk menerima bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram