
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikecam oleh warganet berhubung kenyataannya yang mengambil contoh amalan makan menggunakan 'chopsticks' sebagai punca perpecahan kaum di Malaysia.
Rata-rata pengguna Twitter mempersoalkan hujah beliau yang dilihat bertentangan dengan situasi sebenar tentang kepelbagaian kaum di negara ini.
"Bagaimana kami nak makan semangkuk bihun sup yang panas? Kami tidak boleh menggunakan tangan, betul tak? Jika kami menggunakan garpu, adakah itu bermakna kami mengamalkan budaya Barat?" kata seorang pengguna Twitter, @Kptan.
Warganet juga menegaskan Mahathir patut memupuk perpaduan kaum dan bukan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang perpecahan kaum.
"Kepelbagaian kaum penting, ada cara lain untuk proses asimilasi. Negara seperti Australia melalui sistem pendidikan tunggal mampu merapatkan semua kumpulan etnik bersama.
"Mereka menyanyikan lagi kebangsaan dan mewakili negara mereka dalam sukan serta mereka berjaya.
"Mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama?" kata seorang lagi pengguna Twitter, @ariefamron.
Ketika menjawab soalan wartawan semasa pelancaran bukunya pada Ahad berkenaan kesukaran asimilasi kaum di Malaysia berbanding di Indonesia, Mahathir berkata, penduduk Cina di negara tersebut berasimilasi kerana jumlahnya yang secara relatif kecil berbanding di Malaysia.
Tambah Mahathir, masyarakat di Cina memelihara komuniti, budaya serta cara hidup mereka dan turut menggunakan amalan makan menggunakan chopsticks sebagai contoh.
“Misalnya, orang Cina makan menggunakan chopsticks, mereka tidak makan guna tangan. Mereka tidak menyerap cara orang Malaysia makan.
“Mereka mengekalkan penggunaan chopsticks yang merupakan identiti China, bukan Malaysia dan banyak lagi perkara lain,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram