Sembilan premis terbakar di Gerik


  • 112
  • Isnin, 13 Dis 2021

DERETAN premis dan rumah yang terbakar dalam kejadian pada Ahad. — Ihsan JBPM Perak

SEBANYAK sembilan buah premis terbabit dalam insiden kebakaran di Kampung Baru Batu 2, Gerik, Perak pada Ahad.

Kejadian tersebut turut memusnahkan empat buah rumah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 8 malam itu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya mengambil masa lebih lima jam untuk memadamkan kebakaran membabitkan deretan kedai serta rumah terlibat.

"Kebakaran membabitkan seunit kedai fonderi, aksesori kereta, kedai makan dan kedai membaiki jentera berat yang musnah 80 peratus.

"Selain itu, rumah kedai dua tingkat musnah terbakar 60 peratus, tiga rumah kediaman terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar tiga peratus," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizan Aziz berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.22 malam.

"Operasi pemadaman dengan menggunakan aliran air itu turut dibantu oleh pasukan dari BBP Lenggong, Pengkalan Hulu, dan Kuala Kangsar.

"Seramai 77 anggota terlibat dalam operasi itu termasuk polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pegawai kesihatan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," ujarnya.

Katanya, operasi diteruskan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya dan tamat pada jam 1.20 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram