Pakar syor pengurangan saman kompaun tidak diteruskan


  • Massa
  • Isnin, 13 Dis 2021

TEMPOH pemberian diskaun saman trafik akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini. — The Star

PENGURANGAN saman kompaun yang ditawarkan oleh pihak berkuasa tidak boleh diteruskan pada masa akan datang, tegas Datuk Salehuddin Saidin.

Pakar undang-undang itu berkata, sekiranya budaya itu masih diteruskan, rakyat akan bersikap sambil lewa kerana mereka hanya membayar saman apabila kerajaan mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah kompaun akan dikurangkan lagi sekiranya ramai rakyat tidak membuat pembayaran.

file61my7eox82s11m7488mb

Salehuddin berkata, kerajaan juga membuat langkah baik apabila mengurangkan saman kerana dapat meringankan beban rakyat. — The Star

"Jadi, nak tunggu sampai kadar bayaran itu turun, maka rakyat pun tak nak bayar. Bila tak nak bayar, seolah-olah menggambarkan bahawa melakukan kesalahan jalan raya ini hukumannya akan jadi ringan dan tidak berat mana.

"Hukuman yang dikenakan juga perlulah memastikan pengguna jalan raya tidak akan melakukan kesalahan pada masa akan datang," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, tempoh pemberian diskaun saman trafik akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tawaran diskaun bagi kesalahan trafik melibatkan kesalahan terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30 akan dilanjutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus sehingga Rabu ini, sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, undang-undang sudah menetapkan jumlah dan masa sekiranya seseorang disaman atau dikompaun.

Beliau berkata, sekiranya seseorang individu tidak membayar sama tersebut, maka mereka akan dihadapkan ke mahkamah dan hukuman lebih tinggi akan dikenakan.

"Jadi, masalahnya rakyat Malaysia bila kena saman mereka tak bayar atau pun lambat bayar atau ada yang bayar. Bila ramai yang tak bayar akan menyebabkan jumlah tertunggak itu makin lama makin tinggi.

"Jadi jika sudah terlalu banyak saman dan apabila mereka dihadapkan ke mahkamah, mereka akan menganggap kerajaan zalim kerana mengenakan jumlah saman yang begitu tinggi," jelasnya.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan langkah kerajaan mengurangkan saman sebagai baik kerana dapat meringankan beban rakyat, terutamanya mereka yang menghadapi jumlah saman yang tinggi.

"Kalau maksimum saman bernilai RM150 atau RM300 misalnya, bayangkan kalau 10 saman berapa ribu Ringgit dia kena bayar?

"Ini juga menggambarkan bahawa kerajaan prihatin atas kesusahan rakyat terutamanya ketika wabak Covid-19 sedang melanda," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram