SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjangka peratus yang akan keluar mengundi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini adalah sekitar 70 peratus, sama seperti PRN 2016; namun ramai pemerhati politik menjangka jumlahnya mungkin akan berkurangan kali ini.
"Saya jangka 65 peratus adalah lebih realistik. Cuaca hujan sejak kebelakangan ini dan Covid-19 adalah faktor utama, selain tarikhnya yang hampir dengan Krismas. Pengundi yang bekerja atau tinggal di luar dari pada kawasan mengundi mungkin tidak mahu berulang alik berkali-kali,” kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir.
Pada pilihan raya sebelum ini, parti-parti yang terlibat biasanya akan menyediakan perkhidmatan 'shuttle' percuma untuk ‘mengangkut’ pengundi, namun kali ini belum kedengaran tawaran yang sedemikian.
Kira-kira 250,000 penduduk Sarawak bekerja di Semenanjung Malaysia ketika ini, dengan 40,000 bertempat di Johor.
"Walaupun angka 70 peratus mungkin tidak mustahil, namun ia banyak bergantung kepada sejauh mana kempen dijalankan untuk meyakinkan orang ramai pulang mengundi menjelang 18 Disember," kata Jeniri.
Sementara itu, felo kanan di Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun, menjangkakan jumlah pengundi nanti akan berkurangan kerana ramai yang mengambil sikap tidak peduli.
"Jumlah yang keluar mengundi akan menjadi serendah pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini. Ramai yang enggan mengundi kerana mereka tidak dapat lihat bagaimana undi mereka itu akan membawa apa-apa perbezaan. Apabila jumlah yang mengundi berkurangan, ia akan memberi kesan kepada pembangkang terutama di kawasan bandar,” kata Ei Sun.
Pada PRN Melaka baru-baru ini, jumlah yang keluar mengundi hanya mencecah 65.85 peratus.
Kira-kira 1.25 juta pemilih berdaftar di Sarawak layak mengundi pada PRN ini, peningkatan 10 peratus berbanding PRN 2016.
Tarikh mengundi awal bagi anggota pasukan keselamatan dan pasangan mereka ditetapkan Selasa ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram