SPR keluarkan 17,885 kertas undi pos PRN Sarawak


  • Politik
  • Sabtu, 11 Dis 2021

SEJUMLAH 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN kali ini. — Bernama

SEBANYAK 17,885 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dari Rabu hingga Jumaat dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua kawasan DUN seluruh negeri.

Daripada kesemua kertas undi pos yang dikeluarkan, sejumlah 16,728 adalah untuk petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media, 365 warganegara Malaysia di luar negara, 679 petugas agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 113 lagi pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum 5 petang pada Hari Mengundi iaitu 18 Disember ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN sarawak, SPR, kertas, undi, pos