GPS boleh sapu 70 peratus kerusi PRN Sarawak, kata penganalisis


  • Massa
  • Rabu, 08 Dis 2021

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) dijangka menang dua pertiga daripada keseluruhan 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 November ini.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jeniri Amir melihat, sokongan padu yang dimiliki gabungan itu serta perpecahan pembangkang kepada banyak blok bakal memberi kelebihan kepada GPS.

"Bukanlah nak kata mudah untuk GPS, tapi mereka boleh menang lebih daripada dua pertiga majoriti, saya rasa antara 65 hingga 70 peratus kerusi.

"Pembangkang sendiri tahu GPS ini sebuah parti yang amat kuat, disebabkan itu tiada satu parti pembangkang pun yang berani meletakkan calon mereka di semua 82 kerusi.

"Mereka sedar, jika bertanding ia hanya akan membuang masa, tenaga dan wang. Jadi, mereka hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang dirasakan berpotensi untuk memberi saingan," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, itu merupakan satu langkah strategik yang diambil oleh parti-parti pembangkang di Sarawak, tetapi dalam masa yang sama menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai keyakinan untuk membentuk kerajaan negeri.

Sebanyak 10 parti bakal menyertai PRN Sarawak kali ini iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar).

Selain itu, parti-parti dari semenanjung termasuk PKR, DAP, Amanah dan PAS turut meletakkan calon mereka.

GPS menjadi satu-satunya parti yang meletakkan calon di semua 82 kerusi, diikuti PBK yang bertanding di 73 kerusi, PSB (70 kerusi), PKR (28 kerusi), DAP (26 kerusi), Aspirasi (15), PBDSB (11 kerusi), Amanah (lapan kerusi), SEDAR (lima kerusi) selain calon bebas yang bertanding di 30 kerusi.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, tindakan Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR, DAP dan Amanah yang hanya bertanding di 62 kerusi juga agak mengejutkan memandangkan mereka mempunyai hasrat untuk menumbangkan GPS.

"Jika mereka bertanding di semua kerusi pun agak sukar bagi mereka untuk mengalahkan GPS, apatah lagi dengan hanya 62 kerusi.

"Hakikatnya, parti-parti pembangkang di sarawak tidak bersatu sehingga begitu banyak parti politik yang bertanding dan masing-masing berdiri atas platform sendiri," ujarnya.

Katanya, perkara itu juga bakal memberi kelebihan kepada GPS yang mempunyai sokongan yang padu dalam kalangan pengundi-pengundinya.

Tambah Jeniri, rekod baik GPS dalam menjaga kepentingan rakyat Sarawak, ditambah dengan sokongan kuat kaum Melayu Melanau kepada parti PBB juga bakal memberi kelebihan kepada mereka pada PRN nanti.

"Selain itu, Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg juga mempunyai reputasi yang baik dalam kalangan rakyat Sarawak dengan segala inisiatif yang telah beliau lakukan ketika memegang jawatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram