Ditawar jadi 'isteri menteri', guru tadika rugi RM4,200


  • 112
  • Isnin, 13 Dis 2021

MANGSA berkenalan dengan suspek menerusi Facebook pada awal bulan ini. — Gambar hiasan/Agensi

SEORANG guru tadika di Pahang mendakwa kerugian RM4,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai 'menteri' menerusi laman Facebook pada awal bulan ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa wanita berusia 59 tahun itu mendakwa ditawarkan wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Rolls-Royce sekiranya bersetuju menjadi isteri 'menteri' berkenaan.

Tambah beliau, mangsa turut diminta untuk berurusan dengan seorang individu bernama Siti yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus bank sebelum diminta wang kononnya sebagai yuran pemprosesan sebagai isteri suspek.

"Mangsa seterusnya memasukkan wang sebanyak RM4,200 ke dalam nombor akaun milik seorang lelaki pada Jumaat lepas.

"Bagaimanapun, mangsa yang berasa ditipu dan tidak berpuas hati kerana suspek telah mempergunakan nama menteri untuk memperdayanya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Ahad," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pahang, polis, tipu, menteri, guru