
SEORANG lelaki yang ditahan pada Sabtu lalu selepas memperdaya kira-kira 170 pembeli pratempahan konsol permainan PS5 (PS5) melibatkan kerugian kira-kira RM1.5 juta, didapati melakukan jenayah itu secara solo.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Asmadi Yusoff, suspek berusia 23 tahun itu membuat penjualan melalui Facebook dan Instagram yang menggunakan nama 'Gila Gaming 666' untuk menjalankan kegiatannya.
"Suspek juga didapati menggunakan akaun banknya dan ibunya untuk menjalankan kegiatan terbabit.
"Setakat ini, suspek terlibat dalam lapan kes di Pulau Pinang dengan anggaran kerugian RM28,000," ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, Pulau Pinang pada Jumaat.
Tambah Mohd Asmadi, suspek dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak dua tahun lalu dengan menjual konsol permainan yang sama namun edisi yang berlainan.
"Di dalam kumpulan Facebook, suspek dipercayai memperdaya individu dengan membina reputasi sebagai penjual yang dipercayai sebelum melarikan diri bersama wang tersebut.
"Suspek juga mempunyai sijil daftar perniagaan yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Bagaimanapun, ada juga beberapa pembeli yang sudah mendapat tempahan mereka, sekali gus menyebabkan ramai pembeli mempercayai suspek.
"Ada juga pembeli yang sudah mendapat tempahan sebelum ini dan selepas mereka menambah tempahan lagi dengan membuat bayaran, suspek dipercayai melarikan diri," jelasnya.
Ujar beliau lagi, suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan ditahan pada 13 November lalu kini direman di Kedah bagi membantu siasatan untuk kesalahan sama. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram