Pilih barang lebih murah antara faktor mudah ditipu dalam e-dagang — Polis


  • Massa
  • Jumaat, 12 Nov 2021

SEBANYAK 8,162 kes penipuan e-dagang dengan kerugian berjumlah RM57.73 juta dilaporkan di seluruh negara sepanjang tahun ini hingga 31 Oktober. —Gambar hiasan

KEWUJUDAN perdagangan elektronik (e-dagang) memudahkan rakyat Malaysia melakukan aktiviti pemasaran, pembelian serta penjualan barangan atau perkhidmatan melalui internet.

E-dagang juga bermanfaat untuk menjimatkan masa dan tenaga kepada pembeli tanpa perlu berkunjung ke premis perniagaan.

Di sebalik kemudahan itu, terdapat risiko pembeli ditipu susulan penggunaan transaksi dalam talian berkenaan.

Sebanyak 8,162 kes penipuan e-dagang dengan kerugian berjumlah RM57.73 juta dilaporkan di seluruh negara sepanjang tahun ini hingga 31 Oktober.

Perkara itu didedahkan oleh pegawai penyiasat (pelaburan bersindiket atau lain-lain jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Sa’adon Sabirin.

Beliau berkata, trend penipuan e-dagang dilaporkan terus meningkat jika dibandingkan pada 2018, dengan 3,318 kes melibatkan kerugian berjumlah RM22.39 juta.

Mengulas mengenai perkara itu, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, pengguna atau pembeli lebih cenderung memilih harga barangan lebih murah menjadikannya antara faktor kes penipuan e-dagang semakin meningkat.

Pengarah JSJK Bukit Aman itu menambah, kelebihan e-dagang adalah dari sudut penjimatan masa, yang mana pembeli dapat membuat pembelian barangan atau produk secara atas talian.

Beliau berkata, faktor lain termasuk tabiat pembeli yang selesa membuat pembayaran secara dalam talian sama ada menggunakan kad kredit atau kad debit.

51580628378_DatukMohdKamarudin

Mohd Kamarudin berkata, orang ramai perlu memastikan platform e-dagang berkaitan mempunyai 'buyer protection' dan sistem Escrow. —Bernama

Malah, katanya, pembeli juga seolah-olah terpedaya dengan tawaran penghantaran barangan ke rumah mereka.

"Barangan yang dibeli secara online kebiasaannya barang tersebut akan dihantar terus ke rumah pembeli dan menjimatkan kos pengangkutan.

"Malah, pembeli juga boleh mencari apa jua produk yang diinginkan melalui pelbagai platform seperti Lazada, Carousell, Shopee dan sebagainya.

"Ini menyenangkan pembeli mendapat maklumat penjual, maklumat produk atau rating penjual laman web tersebut," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Mohd Kamarudin berkata, orang ramai disarankan mengadakan kempen kesedaran berkaitan penipuan dalam e-dagang, termasuk memastikan platform berkaitan dapat memberi jaminan sekiranya barangan yang dibeli tidak diterima, palsu ataupun rosak.

Katanya, orang ramai juga perlu memastikan platform e-dagang berkaitan mempunyai buyer protection dan sistem Escrow, yang hanya melepaskan bayaran kepada penjual apabila barangan diterima pembeli.

"Pihak JSJK juga mewujudkan website semakmule iaitu http://semakmule.rmp.gov.my, di mana pembeli boleh membuat semakan terlebih dahulu nombor akaun bank penjual sebelum membuat pembayaran.

"Pihak JSJK juga mempunyai CCID scam responce center di talian 03-26101559 dan 0326101599, serta CCID Infoline di 013-2111222, di mana orang ramai boleh menghubungi pegawai JSJK untuk membuat pertanyaan Modus Operandi kes tipu dalam talian dan salurkan apa jua maklumat yang berkaitan dengan penipuan siber," katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk melayari Facebook JSJK PDRM @ CyberCrimeAlert RMP, yang menyampaikan maklumat kepada orang awam tentang Modus Operandi jenayah komersil dan siber terkini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram