RM7.8 juta bina semula surau, Sekolah Agama Rakyat Al-Kahfi


  • Primer
  • Ahad, 12 Dis 2021

AZMIN Ali (tengah) menyampai replika cek kepada pihak Kompleks Surau Al-Kahfi serta Sekolah Agama Rakyat Al-Kahfi. — Facebook

KERAJAAN meluluskan dana sebanyak RM7.8 juta bagi projek meroboh dan membina semula Kompleks Surau Al-Kahfi serta Sekolah Agama Rakyat Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves, Gombak, Selangor.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dana itu antara usaha bagi merancakkan perkembangan pembangunan di lokasi berkenaan dan memperkasakan institusi-institusi Islam di kawasan Gombak dan seluruh negara.

"Kita bukan sahaja mahu pembangunan yang mencakar langit, tetapi kita mahu pembangunan modal insan, anak-anak yang mempunyai integriti dan keperibadian mulia.

"Kita mahu menjadikan masjid dan surau ini tempat yang memupuk perpaduan dalam kalangan ummah," katanya dalam satu video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Beliau berkata, jumlah awal yang dimohon oleh Pengerusi Surau Al-Kahfi Mohd Rozi Salleh adalah sebanyak RM5 juta, namun setelah diteliti dan dipertimbangkan, kerajaan bersetuju untuk meluluskan dana RM7.8 juta bagi memenuhi spesifikasi reka bentuk surau dan sekolah berkenaan.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, pihaknya akan melantik jururunding dalam tempoh dua minggu ini untuk projek tersebut dimulakan segera.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan replika cek sebagai simbolik penyerahan dana itu kepada pengerusi surau berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram