Bunuh kontraktor, dua suspek ditahan kurang empat jam


  • 112
  • Sabtu, 11 Dis 2021

KEDUA-DUA suspek yang merupakan penganggur dan bekerja sendiri itu mengenali mangsa bunuh berkenaan. — The Star

DUA lelaki disyaki membunuh seorang kontraktor berjaya ditahan pihak polis dalam tempoh kurang empat jam di Kampung Idaman, Klang, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua suspek yang berusia 33 tahun ditahan di sekitar Klang dan Shah Alam.

Beliau berkata, dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 69 tahun ditikam di hadapan rumahnya ketika hendak menunaikan solat Jumaat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek yang merupakan penganggur dan bekerja sendiri itu mengenali mangsa.

"Polis turut menemukan senjata yang dipercayai digunakan untuk menikam warga emas berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian," katanya dalam kenyataan.

Cha berkata, suspek utama kes itu memiliki satu rekod jenayah lampau dan dua rekod dadah.

Beliau berkata, kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang esok untuk permohonan reman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bunuh, kontraktor, Klang, Shah Alam