POLIS sudah mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang dipercayai menularkan gambar berunsur fitnah berhubung kejadian pergaduhan, melibatkan empat individu sehingga menyebabkan kematian di Jalan Ashby di Ipoh, Perak pada Khamis lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan memanggil individu terbabit yang memuat naik gambar di tempat kejadian sehingga mendapat perhatian masyarakat umum yang memaparkan tindakan pegawai polis dari Balai Polis Sungai Senam di Ipoh, meleraikan kejadian pergaduhan berkenaan.
"Siasatan sudah dijalankan dan gambar yang ditularkan itu diambil semasa anggota polis sampai ke tempat kejadian ketika seorang daripada suspek sedang bergelut dengan si mati.
"Polis telah bertindak cepat untuk menahan mereka yang terlibat sehingga berjaya menahan ketiga-tiga suspek di tempat kejadian.
"Orang ramai diminta supaya berhati-hati membuat ulasan sendiri yang tidak benar," katanya pada sidang media Pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Gambar yang ditularkan memperlihatkan seolah-olah pihak polis tidak meleraikan pergaduhan tersebut dan susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mior Faridalathrash berkata, ketiga-tiga suspek masih dalam tahanan reman dan pihak polis akan merujuk hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Tiga bersaudara berusia 34 hingga 60 tahun, direman selama tujuh hari bermula Jumaat lepas bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby.
Mangsa Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dipercayai akibat dicekik semasa bergelut dalam pergaduhan dengan tiga lelaki terbabit kerana dikatakan mencuri 'portable speaker'. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram