Status kes buli MRSM Kuala Kangsar masih belum diketahui — Polis


  • 112
  • Jumaat, 10 Dis 2021

TANGKAP layar video seorang pelajar maktab dibuli. — Facebook

POLIS Perak kini sedang melakukan siasatan terperinci berhubung satu kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Omar Bakhtiar Yaacob untuk menjalankan siasatan sama ada benar kes buli itu berlaku di MRSM berkenaan atau berlaku di tempat lain.

"Kita juga akan menyiasat bila kes itu berlaku sebenarnya, sama ada apa yang ditularkan itu kejadian yang sudah lama atau baru sahaja berlaku, kerana ada juga video yang ditularkan sebelum ini kejadian lama tetapi ditularkan semula," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kampar antara Superintendan Hasron Nazri Hashim dengan Superintendan Mohamad Nazri Daud di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di Ipoh pada Jumaat.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, Kuala Kangsar, buli, MRSM, Mara