MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) mengambil maklum bahawa satu kandungan di media sosial Facebook dan Twitter telah tular berkaitan rakaman video sekumpulan pelajar sedang membuli rakannya.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihak MARA memandang serius berkaitan isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang tular.
"Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial pada Jumaat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media susulan penularan kandungan video membabitkan pelajar sebuah sekolah berasrama pada Jumaat.
TANGKAP layar kenyataan rasmi Mahdzir Khalid di aplikasi WhatsApp. — WhatsApp
Tambah Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, jika video yang tular adalah benar.
Beliau berkata, pihak MARA juga tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.
Selain tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin juga tampil memberi respons menerusi satu catatan ringkas di Twitter pada petang Jumaat.
"Berkaitan video tular, siasatan awal mendapati ia tidak melibatkan institusi bawah KPM.
"KPM telah berhubung dengan pihak terlibat dan dimaklumkan tindakan susulan telah diambil," kata Radzi.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram