PRN Sarawak: Awang Tengah tidak pandang ringan kekuatan calon saingan tiga penjuru


  • Politik
  • Isnin, 06 Dis 2021

AWANG Tengah berhadapan cabaran tiga penjuru daripada calon PBK, Riyah Basrah dan calon PSB, Alias Mail. — The Star

TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sama sekali tidak mengambil ringan atau memandang rendah terhadap kemampuan calon lain yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu percaya walaupun Bukit Sari menjadi kubu kuat GPS, calon lain yang bertanding dan bersaing dengannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kali ini mempunyai kekuatan masing-masing.

Justeru, Awang Tengah mengharapkan proses berkempen selama 12 hari bermula hari ini menjelang hari pengundian 18 Disember 2021 berlangsung secara bersih tanpa berlaku insiden provokasi daripada mana-mana parti bertanding.

"PRN ini adalah proses demokrasi dan kita tak boleh pandang rendah dengan calon lain yang bertanding di sini (Bukit Sari).

"Mereka ada kekuatan masing-masing...sebab itu mereka bertanding. Kita (GPS) perlu berusaha keras sepanjang tempoh kempen ini untuk memastikan kemenangan milik GPS," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Sari, Lawas, Sarawak pada Isnin.

Penamaan calon DUN Bukit Sari hari ini menyaksikan Awang Tengah berhadapan cabaran tiga penjuru daripada calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Riyah Basrah dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Alias Mail.

Pada PRN Sarawak 2016, Awang Tengah menang tanpa bertanding, sementara pada PRN 2011, Timbalan Presiden PBB menang dengan majoriti 5,063 undi mengalahkan calon PKR Japar Suyut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 18 Disember 2021 manakala undi awal pada 14 Disember 2021.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) PRN Sarawak diumumkan SPR yang membenarkan ceramah fizikal dilakukan di 64 DUN dengan liputan internet rendah termasuk di Bukit Sari, Awang Tengah berkata kelebihan itu akan digunakan dengan sebaiknya jentera GPS sepanjang tempoh berkempen.

"Kita akan pastikan aktiviti dan program ceramah itu dibuat mengikut peraturan dan SOP yang ditetapkan...dalam berkempen kita perlu elakkan berlakunya penularan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah tidak menolak kemungkinan pembangkang akan kembali memainkan isu hak tanah adat Bumiputera (NCR) sebagai alat berkempen sama seperti PRN sebelum ini.

Katanya pengundi tidak harus termakan dengan dakyah pembangkang kerana sepanjang GPS mentadbir kerajaan Sarawak, menjadi komitmen gabungan itu mempertahankan hak rakyat terhadap tanah NCR yang sahih mengikut lunas perundangan termasuk mempercepatkan proses pengukuran dan penyukatan tanah NCR.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram