SEORANG pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) semasa di negara ini yang disifatkan pelik serta tidak diselaraskan dalam situasi berbeza.
Beliau memberi contoh situasi ketika orang ramai bersesak di stadium selain kunjungan orang ramai ke taman tema air baru-baru ini yang dibandingkannya dengan SOP solat di surau atau masjid.
"Ketika orang bersesak di stadium dan tema air, tiba-tiba apabila nak solat di surau berdekatan perlu penjarakan. Pelik kan?," soalnya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Zubaidi berkata, SOP penjarakan ketika solat berjemaah itu perlu diteliti semula kerana dilihat tidak adil jika dibanding kelonggaran sektor sosial lain.
Tambahnya, peraturan yang hanya membenarkan kehadiran solat lima waktu dan solat Jumaat kepada individu lengkap menerima vaksin Covid-19, juga perlu diteliti semula berdasarkan insiden penularan jangkitan di sebuah sekolah baru-baru yang didakwa bermula daripada guru lengkap vaksinasi.
TANGKAP layar hantaran status Zubaidi mengenai SOP yang tidak selaras pada Jumaat. — Facebook
Katanya, kejadian itu membuka mata kerana baik sudah lengkap divaksin atau tidak divaksin, kedua-duanya sama-sama berisiko untuk menjangkiti dan dijangkiti orang lain.
"Dalam situasi ini, di masjid pun serupa dan tiada beza. Jadi apa gunanya melarang yang belum divaksin sedangkan yang sudah vaksin pun boleh menjangkiti jemaah lain.
"Mohon mufti teliti hal ini. Tak sabar untuk masuk ke fasa endemik," katanya.
Majoriti sebelum ini pernah SOP mengenai aktiviti masjid dan surau, termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah dibincangkan dalam Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu perlu dilakukan mengikut tertib dan berhemah.
Mengikut aturan, keputusan yang diputuskan dalam muzakarah perlu dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Ia kemudian akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan baginda.
Sebaik mendapat perkenan dan persetujuan barulah perkara itu diuar-uarkan kepada masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram