Rakyat desak diskaun saman diselaraskan untuk semua negeri


  • Massa
  • Selasa, 07 Dis 2021

SEBARANG pengumuman berhubung penambahan diskaun saman akan dibuat Perdana Menteri dalam masa terdekat.— The Star

PEMBERIAN diskaun saman Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sehingga 80 peratus sempena Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari sudah pasti dapat memberi kelegaan kepada rakyat.

Bagaimanapun, ada segelintir daripada mereka yang mahu diskaun tersebut sebolehnya dapat diselaraskan untuk seluruh negara memandangkan kadar tertinggi diskaun hanya untuk saman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Manakala selebihnya bagi negeri lain mendapat diskaun sehingga 70 peratus sahaja.

Terdapat desas-desus bahawa diskaun saman PDRM itu akan diselaraskan dengan memberikannya kepada semua rakyat dan boleh dibayar bukan sahaja di lokasi program AKM 100 Hari tetapi di balai polis berdekatan.

Diskaun tersebut hanya diberikan sempena program AKM 100 Hari yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021.

Majoriti pada sesi temubual bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Selasa turut bertanyakan tentang tambahan diskaun tersebut.

Namun, menurut Setiausaha Perancangan Strategik KDN, Ainah Soon, pihaknya tidak dapat memberi pengesahan tentang perkara itu.

Katanya, perkara itu bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Terdahulu, PDRM menawarkan diskaun sehingga 80 peratus sempena sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Diskaun tersebut hanya terpakai di lokasi program AKM 100 Hari (KLCC) pada tarikh ditetapkan.

Pengurangan sehingga 80 peratus hanya untuk saman yang dikeluarkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala selain daripada itu cuma ditawarkan diskaun sehingga 70 peratus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KDN, PDRM, diskuan, saman, AKM 100 hari, Ainah Soon