PENDUDUK sekitar kawasan Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor gempar dan cemas dengan kehadiran seekor ular tedung selar bersaiz besar sedang melintas jalan di situ pada Isnin.
Kejadian itu sempat dirakam oleh salah seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu, malah dalam video berkenaan menunjukkan ekor ular tedung terbabit sempat menaikkan badannya ketika sebuah kereta melalui kawasan tersebut.
Video berdurasi 30 saat yang dimuat naik Wawa Fazrinny itu jelas membimbangkan orang ramai mengenai keselamatan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dan basikal.
Rata-rata warganet di Facebook turut berharap ular itu terus ke hutan berhampiran dan bukannya singgah ke rumah penduduk di kampung berkenaan.
"Saya selalu melalui kawasan tersebut dan bersyukur tidak pernah berhadapan dengan ular berbisa itu," salah seorang pengguna media sosial Facebook, Kamarul Roslan memberi komen di hantaran itu.
"Ular ini tidak boleh dibiarkan di kawasan orang ramai. Belum kena memang kesian la dekat ular tu. Tapi bila keluarga kau jadi mangsa pantang la kau nampak ular pasti kau bunuh," kata pengguna Facebook Eddy Jipsin.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Hardinalizha berkata, dia baru sahaja menjumpai ular tedung selar pada bulan lalu di hadapan rumahnya iaitu di sekitar Batu 16, Hulu Langat dan ular yang dijumpainya juga bersaiz sama dengan ular di video berkenaan.
Dalam pada itu, Rimba Bara mencadangkan agar kejadiaan itu dilaporkan kepada pihak bomba ataupun Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk keselamatan penduduk sekitar agar tiada kejadian ular masuk rumah.
"Kena panggil bomba atau JUPEM tangkap. Bahaya tu biar pergi dekat rumah, nanti ada yang tak nampak," katanya.
Namun setakat ini, belum ada sebarang laporan dan kenyataan dari pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram