Bukit Aman nafi dakwaan marsyal yang tular adalah anggota PDRM


  • Massa
  • Isnin, 06 Dis 2021

TANGKAP layar menunjukkan dua insiden tular membabitkan marsyal di Port Dickson pada November dan Ahad lepas. — Facebook

PIHAK polis menafikan penglibatan anggotanya yang didakwa merupakan marsyal yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, dakwaan itu tidak benar dan beliau sudah dapat maklumat yang menegaskan marsyal yang tular itu bukan anggota polis.

"Untuk melakukan tugas-tugas trafik seperti melencongkan kenderaan hanya eksklusif untuk pihak polis mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Majoriti.

Akta Polis 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan dengan memberikan kuasa kepada Pegawai Polis, Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Warden Trafik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal lalu lintas di jalan awam.

Mengulas lanjut, Mat Kasim juga menegaskan bahawa akan menjadi kesalahan kepada sesiapa yang berlakon menjadi marsyal ketika konvoi berlangsung dan hanya polis yang bertanggungjawab untuk melencongkan kenderaan.

"Tugas konvoi itu juga sebenarnya bukan tugas rasmi polis kecuali ada permintaan dari pihak penganjur yang meminta pihak polis menjadi marsyal kerana alasan bimbang akan kesesakan lalu lintas. Alasan sedemikian kami boleh bantu tapi pihak polis juga perlu kelulusan dari pihak jabatan.

"Jika ada orang awam mengaku polis, polis yang bersara ataupun polis yang sudah berhenti tapi berlagak seperti marsyal, itu tidak ada kait mengait dengan penegasan dan tanggungjawab kuasa polis," tambahnya.

Menurut beliau, orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah marsyal ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan dan pelbagai lagi.

Terdahulu pada Isnin, tular di media sosial yang menunjukkan beberapa individu berlagak marsyal didakwa memberi arahan kepada seorang pemandu supaya memperlahankan kenderaan di Port Dickson pada Ahad.

Ini merupakan insiden kedua apabila polis menahan lima lelaki yang menjadi pengiring atau marsyal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson pada November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram