Penganjur, pengunjung parti liar kolam renang di Brickfields dikompaun lebih RM1.5 juta


  • 112
  • Isnin, 06 Dis 2021

AMIHIZAM memberitahu semua individu yang diperiksa didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan MKN. — Ihsan PDRM/Facebook

SERAMAI 304 individu termasuk seorang penganjur dikenakan kompaun kerana disyaki terlibat dalam parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di Kuala Lumpur pada Ahad.

Penganjur berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 manakala 87 warga tempatan yang merupakan pengunjung parti berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM435,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, selebihnya 216 pengunjung warga asing dikenakan kompaun sebanyak RM1,080,000.

"Kesemua kompaun yang dikeluarkan bernilai RM1.56 juta.

"Pihak polis juga menjalankan pemeriksaan terhadap 303 individu dan menahan 216 daripadanya," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, semua suspek yang diperiksa terdiri daripada 55 wanita dan 161 lelaki warga asing manakala 87 individu adalah warga tempatan.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan mendapati, semua individu yang diperiksa didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Mereka melakukan kesalahan berkumpul di suatu tempat hingga menyukarkan penjarakan fizikal.

"Kesemua 216 individu warga asing yang ditangkap kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Amihizam turut menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22(b) Akta 342 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Hurainya, kes turut disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 2) 2021 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram