25 tokan judi haram dicekup di Klang, babit RM65,000 nilai rampasan


  • 112
  • Isnin, 06 Dis 2021

Hoong Fong memberitahu serbuan tersebut merupakan hasil risikan yang dijalankan oleh pihaknya selama dua minggu terhadap premis berkenaan.— Bernama

POLIS Klang Selatan melakukan sembilan serbuan membabitkan aktiviti perjudian haram di sekitar kawasan Klang Selatan, Selangor sejak 1 Disember 2021 hingga Isnin (6 Disember) dengan jumlah nilai rampasan RM65,000 serta menahan 25 individu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komissioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan secara berterusan namun masih memerlukan orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak polis bagi membanteras jenayah itu.

Bercakap kepada media selepas serbuan yang kesembilan dilakukan di Bandar Puteri dekat Klang pada Isnin, Hoong Fong berkata, serbuan tersebut merupakan hasil risikan yang dijalankan oleh pihaknya selama dua minggu terhadap premis berkenaan.

"Pihak kami telah menahan lima lelaki yang terdiri daripada seorang penjaga premis dan empat pelanggan berumur lingkungan 27 hingga 60 tahun," katanya.

Beliau berkata, polis telah merampas 11 komputer serta wang tunai sebanyak RM200 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM15,000.

"Menurut rekod, premis ini beroperasi selama sebulan bermula pada awal November hingga Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, judi, serbuan, Klang Selatan