NILAI pampasan yang rendah menjadi antara kerunsingan penduduk di Kampung Sungai Baru akibat daripada Pelan Pembangunan Semula Kampung Baru, di ibu negara.
Salah seorang penduduk, Saiful Azhar Ibrahim berkata, penduduk rumah teres di Kampung Sungai Baru bakal dibicarakan oleh pejabat tanah bagi mendengar keputusan jumlah pampasan yang bakal mereka perolehi tidak lama lagi.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat pihak swasta yang membuat penilaian harga rumah di kawasan berkenaan, dengan mengambil kira ukuran, kemudahan serta harta tanah.
"Contoh rumah saya bersaiz 20 meter x 70 meter kaki persegi bernilai RM3.1 juta. Rumah saya pun dah renovate (ubah suai) jadi tiga rumah," katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Saiful Azhar juga tidak menolak kemungkinan rumah teres di kampung itu akan dinilai rendah seperti mana yang diputuskan ke atas penduduk rumah flat sebelum ini, yang dipercayai hanya mendapat pampasan sebanyak antara RM200,000 hingga RM250,000.
Rumah flat di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
"Kalau kita tengok rumah flat ni nampak seperti rumah lama, tapi nilai kawasan ni kita kena ambil kira. Mana penduduk nak pergi lepas ni dengan duit RM200,000 hingga RM250,000?" soalnya.
Beliau juga memberi contoh sekiranya pampasan yang diberi ke atas rumah teres di kawasan itu adalah antara RM300,000 hingga RM400,000, maka jumlah itu tidak masuk akal.
"Takut lepas ni kami pula dapat nilai pampasan dengan nilai itu dan kena keluar dari Kampung Baru, kena cari rumah sewa lain dan kami perlu berhutang antara 20 hingga 30 tahun lagi untuk dapatkan rumah selesa.
"Rumah macam ini takkan dapat lagi, rumah kami tersusun, ada geran, bukan setinggan bukan rumah haram. Jadi, kerajaan atau mana-mana yang terlibat tolong buka mata apa nasib kami selepas ini," katanya.
Saiful Azhar ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Saiful Azhar berkata, meskipun penduduk di Kampung Sungai Baru tidak hidup mewah tetapi mereka mempunyai banyak kemudahan di kawasan tersebut.
"Kami bukan duduk rumah haram, kami ada geran jadi kami sangat risau. Takut nilai pampasan tidak setimpal kerana kami banyak kepentingan di sini, yang mana semua kemudahan dekat.
"Nak hantar anak sekolah dekat, bawa orang tua sakit dekat sebab berhampiran dengan HKL (Hospital Kuala Lumpur). Segalanya mudah." katanya.
Pada 24 Oktober 2019, kerajaan membuat tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah terbabit bagi pembangunan semula pada harga RM1,000 satu kaki persegi, berbanding tawaran RM850 sebelumnya.
Berdasarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai dan baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram