PAKAR kesihatan menegaskan supaya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak diadakan semula, susulan kes pertama varian dibimbangi (VOC) Omicron dikesan pada Khamis.
Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pelaksanaan PKP bukanlah berdasarkan kebimbangan semata-mata, sebaliknya ia perlu berdasarkan data dan fakta.
Ketika ditanya sama ada Malaysia bakal berdepan nasib sama setelah peningkatan kes Covid-19 akibat varian Omicron di luar negara, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada kepatuhan orang ramai terhadap prosedur standard operasi (SOP), pengambilan vaksin dan vaksin penggalak.
"Prosedur sedia ada sudah mencukupi dan mampu mengekang jangkitan, yang kita perlukan ialah kerjasama semua pihak untuk patuh SOP, pihak penguatkuasa untuk menguatkuasakan Peraturan 342 serta teladan yang baik dari pemimpin dan masyarakat.
"Di samping itu, pelaksanaan untuk mewajibkan suntikan booster (dos penggalak) adalah perlu sama seperti dos pertama dan kedua, mandat bergantung kepada keperluan organisasi dan penilaian risiko tularan," katanya kepada Majoriti.
Dr Malina berkata, peningkatan kes Covid-19 akibat varian Omicron bergantung kepada pematuhan orang ramai terhadap SOP dan pengambilan vaksin.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, seorang pelajar warga asing di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak menjadi kes positif Covid-19 varian Omicron pertama di Malaysia,
Beliau berkata, pelajar berusia 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Satu daripada sampel ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron.
"Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021 (Khamis)," katanya.
Katanya, kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram