Ujian RT-PCR kes Omicron pertama negatif — Noor Hisham


  • Primer
  • Jumaat, 03 Dis 2021

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. — Bernama

KEPUTUSAN ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) terhadap pelajar warga asing yang dilaporkan sebagai kes pertama positif Covid-19 varian Omicron di negara ini adalah negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, keputusan ujian bagi tujuh kontak rapat pelajar berkenaan termasuk pemandu, pekerja universiti, tiga pelajar universiti dan dua rakan sebiliknya juga negatif.

"Terkini dari Negeri Perak. Kesemua 8 sampel ujian RT PCR hari ini adalah negatif iaitu kes indeks Omicron pertama dalam negara (Afrika Selatan) & 7 kes kontak rapat iaitu pemandu, pekerja universiti, 3 rakan pelajar universiti (2 Ghana & 1 India) & 2 rakan sebilik. Alhamdulilah,” ciapnya di Twitter pada Jumaat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Jumaat berkata, pelajar warga asing berumur 19 tahun yang menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 lalu.

Katanya, pelajar itu sudah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram