Mangsa tanah runtuh Cameron Highlands beritahu isteri mahu tukar kerja sebelum terlibat kemalangan


  • Primer
  • Jumaat, 03 Dis 2021

Anggota keselamatan mengeluarkan mayat mangsa yang terlibat dalam tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Khamis. — Bernama

RANCANG menukar pekerjaan kerana kepenatan merupakan perbualan terakhir seorang pemandu lori sayur Muhammad Hafiz Hamdi, 31, bersama isterinya sebelum terlibat dalam runtuhan tanah di jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands petang Khamis.

Perkara itu dimaklumkan isteri mangsa, Nor Shahida Saidin, 31, selain topik perkahwinan adik iparnya sebelum suaminya itu terlibat dalam kejadian tanah runtuh semalam.

Menurutnya, arwah Muhammad Hafiz perlu berulang-alik dari kediaman mereka di Tanjung Piandang, Kerian ke Cameron Highlands, untuk mengambil sayur setiap hari.

"Arwah memberitahu bahawa dia ingin menukar pekerjaan daripada pemandu lori kepada pemandu treler sahaja, kerana arwah sering sakit badan sejak kebelakangan ini selain dikhuatiri tiada masa dengan keluarga kerana dia memandu dalam tempoh yang lama,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses bedah siasat Allahyarham suaminya, di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di Ipoh pada Jumaat.

Dilaporkan, Allahyarham Muhammad Hafiz Hamdi antara dua yang maut dalam kejadian tanah runtuh itu selain pemandu Toyata Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Nor Shahida, ibu kepada Nurhannan Fitrysha, dua tahun dan bayi Muhammad Hafiy Fahri yang berusia tujuh bulan itu berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian malang itu menerusi majikan dan rakan suaminya, serta tidak menyangka waktu Subuh semalam adalah pertemuan terakhir mereka sekeluarga sebelum dijemput Ilahi.

"Subuh merupakan kali terakhir saya berjumpa arwah. Hanya seperti biasa, tiada pesanan, arwah bersalaman dengan saya dan mencium anak-anak seperti hari-hari biasa dan sering mengungkap ‘baby busuk, kakak masam, babah nak pergi kerja dah’ sebelum pergi bekerja,” katanya dengan nada sebak.

Katanya, mereka ada berbincang mengenai persiapan perkahwinan adiknya yang akan berlangsung hujung bulan ini, di mana arwah meluahkan hasratnya untuk menaja perbelanjaan perkahwinan adiknya.

Beliau berkata, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Tanjung Piandang, di Parit Buntar petang ini, setelah segala urusan di hospital selesai.

Bedah siasat juga dilakukan ke atas seorang lagi mangsa tanah runtuh, Tan Chee Heng, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang pada hari ini, namun usaha wartawan untuk menemubual keluarganya gagal kerana enggan ditemui pemberita.

Kedua-dua mangsa ditemui tertimbus di dalam kenderaan masing-masing selepas operasi mencari dan menyelamatkan dilakukan hampir lapan jam, sebelum berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat dan dibawa ke HRPB. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram