Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh di Simpang Pulai-Cameron Highlands, polis arah patah balik


  • 112
  • Khamis, 02 Dis 2021

KEJADIAN tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang mengakibatkan dua mangsa terperangkap. — Facebook

POLIS mengarahkan semua kenderaan yang melalui Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands supaya berpatah balik dan mencari jalan alternatif.

Ia rentetan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan dua mangsa terperangkap apabila kenderaan dinaiki mereka tertimbus hampir 50 meter dalam kejadian 1.30 petang pada Khamis.

Difahamkan, terdapat sebuah lori dan kereta terlibat dalam kejadian itu, namun setakat ini belum ada pengesahan dibuat.

VIDEO kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Khamis. — Facebook

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 1.44 petang.

Runtuhan tanah yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dikongsi di media sosial pada Khamis.

Menurutnya, anggota dan jentera yang tiba di lokasi mendapati runtuhan tanah telah mengakibatkan laluan utama di kedua-dua arah jalan itu terhalang.

SEBAHAGIAN kenderaan yang diarah berpatah balik selepas laluan ke Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup. - Facebook

"Maklumat awal mengatakan ada kenderaan terperangkap dan terdapat mangsa dalam kenderaan tersebut," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Norziela Anuar berkata, dia yang dalam perjalanan ke Simpang Pulai-Cameron Highland terpaksa berpatah balik selepas menerima arahan polis berbuat demikian.

Video dan gambar-gambar kejadian tanah runtuh tersebut kini tular di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram