SERAMAI 4,822 orang kurang upaya (OKU) terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 sehingga 14 Oktober lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Bagaimanapun jelas beliau, kesemua mereka menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula September hingga November 2021.
"Inisiatif lain yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu OKU terbabit ialah melanjutkan kelulusan Elaun Pekerja OKU (EPOKU) kepada seramai 92,265 penerima.
"Kita tidak mengira status pekerjaan mereka sama ada masih bekerja atau telah kehilangan pekerjaan kerana kerajaan memandang serius isu ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Tze Tzin meminta kementeriannya menyatakan statistik OKU yang telah hilang pendapatan dan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan bagaimanakah KPWKM membantu dan apakah tindakan terhadap majikan mereka.
Menurut Siti Zailah lagi, selain kementeriannya, insentif Pemulih turut ditawarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM).
"Insentif itu bagi membantu majikan mengekalkan pekerja dan mengawal pengurangan bilangan pekerja yang diberhentikan termasuk pekerja OKU.
“KPWKM turut bekerjasama dengan KSM melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menganjurkan Karnival Khas OKU di seluruh Malaysia khusus untuk golongan OKU mendapatkan pekerjaan dan mempromosi faedah menggajikan OKU yang ditawarkan oleh kerajaan kepada majikan,” ujarnya.
Tze Tzin turut memberikan soalan tambahan berhubung sama ada kementeriannya menjalan siasatan terhadap pekerja OKU yang di kehilangan kerja disebabkan diskriminasi.
Siti Zailah mengulas perkara itu dengan memberitahu berdasarkan rekod KSM, tiada OKU yang kehilangan kerja.
“Mengikut maklumat yang kita peroleh daripada KSM bahawa tiada golongan OKU yang direkodkan hilang pekerjaan.
“Begitu juga dalam portal MyFutureJobs yang mendapati tempoh Januari hingga September 2021, seramai 669 pencari kerja OKU telah berdaftar,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram