DUA beranak ditemukan lemas di perairan Kota Kuala Muda berhampiran persisiran pantai Kampung Tepi Sungai, dekat Sungai Petani, Kedah pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, mangsa iaitu Mohamad Ariffie A Razak, 68, dan anaknya Zulhusni, 29, yang kedua-duanya merupakan nelayan dijumpai terdampar oleh nelayan lain di tepi pantai Kampung Tepi Sungai pada 10.30 pagi tadi.
"Kedua-dua mereka turun ke laut memukat udang pada kira-kira pukul 7 pagi, disyaki Zulhusni diserang sawan dan terjatuh ke laut, manakala bapanya cuba menyelamatkannya dan turut lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Adzli, pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat selepas memperoleh keputusan ujian Covid-19.
"Pihak KKM (Kementerian Kesihatan) Sungai Petani menjalankan sanitasi ke atas kedua-dua mayat tersebut sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram