
DUA remaja yang juga merupakan adik beradik maut selepas selepas motosikal dinaiki mereka merempuh belakang lori yang sedang berundur, dalam kejadian di Jalan Kampung Pelandan – Cheting, Hulu Terengganu, Terengganu, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, kejadian tersebut berlaku pada 2.45 petang dan mangsa, Muhammad Haiqal Abdullah, 18, dan adiknya, Muhammad Izman Hamidi Abdullah, 16 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Siasatan awal mendapati lori jenis Daihatsu Delta yang membawa muatan buah kelapa sawit di parkir di bahu jalan sebelah kiri arah menghala ke Kampung Pelandan.
""Difahamkan, pemandunya berusia 32 tahun berhenti untuk makan tengah hari sebelum ingin pulang ke rumah di kampung berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, salah seorang mangsa (adik) merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Indera, Cheting, Hulu Terengganu, Terengganu.
Mengulas lanjut tentang kejadian, semasa lori berkenaan sedang berundur, tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Honda Beat yang dinaiki kedua-dua beradik itu dari arah Cheting menghala ke Kampung Pelanda.
"Kedua-dua mangsa lalu melanggar bahagian belakang sebelah bucu kiri.
"Selepas menyedari pelanggaran tersebut, pemandunya turun daripada kenderaannya dan mendapati kedua-dua beradik berkenaan telah terbaring di atas jalan," ujarnya.
Jelas beliau lagi, mayat kedua-dua beradik tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat manakala pemandu kenderaan berat tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya lagi, lori milik sebuah syarikat itu dibawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi untuk ditimbang dan didapati berat muatan di bawa tidak melebihi muatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram