Lagi kes penduduk mati akibat makan penyu, tujuh maut


  • Benua
  • Selasa, 30 Nov 2021

DAGING penyu merupakan hidangan biasa bagi mereka yang tinggal di pulau-pulau dan kawasan pantai Tanzania. — Gambar Hiasan/Bernama Agensi

TUJUH orang, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, dilaporkan meninggal dunia manakala tiga dimasukkan ke hospital akibat memakan daging penyu.

Kejadian itu berlaku di Pulau Pemba, Tanzania, kurang 48 jam selepas kejadian sama berlaku di negara tersebut.

Daging penyu merupakan hidangan biasa bagi mereka yang tinggal di pulau-pulau dan kawasan pantai Tanzania tetapi pihak berkuasa kini telah mengharamkan pengambilan penyu di kawasan itu.

Daging penyu boleh menjadi toksik akibat sejenis keracunan makanan yang dikenali sebagai chelonitoxism.

Punca sebenarnya tidak diketahui tetapi dipercayai disebabkan oleh alga beracun yang dimakan oleh penyu, menurut badan amal Turtle Foundation.

Menurut Ketua Polis Pulau Pemba, Juma Said Hamis, sekurang-kurangnya lima keluarga sedang menikmati hidangan penyu itu ketika hari kejadian pada Khamis.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia, diikuti dengan dua yang lain pada Jumaat manakala empat lagi mangsa meninggal dunia pada Ahad.

Seramai 38 orang lagi dimasukkan ke hospital, tetapi kebanyakannya sudah dibenarkan pulang, dengan tiga lagi masih menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Ahad lalu, tiga kanak-kanak dilaporkan maut akibat memakan daging penyu dalam kejadian yang turut berlaku di Pulau tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram