Anwar heret isu harga barang naik 'menggila' ke Dewan Rakyat


  • Politik
  • Khamis, 02 Dis 2021

ANWAR menerima memorandum dari pertubuhan badan bukan kerajaan berhubung kenaikan harga barang. — Facebook

ISU kenaikan harga barangan yang didakwa semakin ‘menggila’ merupakan perkara yang akan dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Kenaikan harga barangan dan makanan seperti terutama ayam, sayur-sayuran dan telur menjadi perhatian rakyat sejak kebelakangan ini.

Anwar dalam hantaran di akaun laman sosial Facebook memberitahu, beliau menerima memorandum daripada Otai Reformis, Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Jingga 13, dan Gerak 98 di pintu pagar Parlimen pada Khamis.

Katanya, memorandum tersebut menyatakan bantahan keras kepada kenaikan harga barang yang menggila saat ini.

"Sudahlah gaji masih di tahap yang parah, rakyat kini ditambah pula beban dengan kenaikan harga barang yang seolah-olah tidak dikawal.

“Ini tidak boleh diterima sama sekali dan insya-ALLAH saya akan bangkitkannya di Dewan Rakyat,” katanya pada Khamis.

Isu kenaikan harga barang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu dinyatakan beliau sebelum melawat My Farm Outlet Kasih di Presint 9, Putrajaya pada Rabu.

Dalam lawatan itu, beliau mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku yang disimpan sebagai stok di bawah program Q'Fish dilambakkan dalam pasaran.

Ia sebagai langkah segera menstabilkan harga barang makanan itu.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga akan mengimport 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu depan bagi tujuan itu. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram