PRU15 jadi indikator terakhir Anwar Ibrahim


  • Massa
  • Khamis, 25 Nov 2021

ANWAR perlu membuktikan beliau kekal relevan pada PRU-15 akan datang. — Bernama

INDIKATOR Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus kekal atau tidak sebagai ketua pembangkang perlu dilihat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Doktor Jeniri Amir, sukar untuk mencari pengganti Anwar yang memiliki karisma seperti beliau ketika ini.

"Anwar masih diperlukan, walaupun tidak dinafikan beliau mempunyai kelemahan tetapi tidak ada orang boleh mempengaruhi kepimpinannya.

"Sekiranya PH tidak mencapai prestasi baik dalam PRU akan datang, tidak ada sinar harapan buat Anwar. Malahan, harapannya untuk menjadi Perdana Menteri tinggal impian sahaja.

"Ketika ini, ruang amat sempit untuk Anwar bangkit dalam PRU15, sekali gus akan membuka pintu untuk beliau berundur dari arena politik," ujarnya kepada Majoriti.

Ekoran kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu, Anwar didesak untuk berundur daripada menjadi ketua pembangkang oleh segelintir pihak.



BARISAN Nasional (BN) memperoleh dua pertiga kerusi dalam PRN Melaka Sabtu lalu. — Bernama

Sementara itu, penganalisis politik veteran, Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, Anwar perlu bertanggungjawab atas segala tindakan yang dilakukan dalam PH dan tidak menuding jari kepada ahlinya.

"Kesilapan PH dalam PRN Melaka dimulakan oleh Anwar. Siapa yang restu 'katak' masuk PH jika bukan beliau? Mengapa perlu menyalahkan DAP atau pihak lain?

"Selain itu, tindakannya melakukan jajaran politik dengan Umno serta usahanya untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak diterima baik oleh komponen parti PH seperti DAP," jelasnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, generasi pemimpin muda PH berdepan konflik untuk ke hadapan berikutan masih wujud 'rejim lama' dalam parti tersebut.

"Dalam PH, bukan sahaja Anwar sebagai pemimpin lama, tetapi ramai pemimpin lain daripada tahun 1980an, 1990an masih ada serta mendominasi parti.

"Saya fikir mungkin ini yang perlu difikirkan siapa pengganti Anwar, sekiranya mereka bersedia 'mengorbankan' beliau," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram