94 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM188,000 langgar SOP PPN


  • 112
  • Khamis, 02 Dis 2021

FAKHRUDIN memberitahu semua pengunjung pusat hiburan berkenaan dikompaun di bawah peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

POLIS mengeluarkan kompaun kepada 94 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komissioner Fakhrudin Abdul Hamid, kesemua 94 individu yang merupakan warga tempatan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

"Semasa serbuan dilakukan, muzik di premis berkenaan dipasang dengan kuat dan pelanggan sedang berhibur.

"Dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan seramai dua pengunjung turut didapati positif dadah jenis syabu selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadap semua pengunjung berumur lingkungan 19 hingga 57 tahun berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kata Fakhrudin lagi, semua pengunjung pusat hiburan berkenaan dikompaun di bawah peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Kompaun sebanyak RM10,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana telah menjalankan perniagaan pusat hiburan semasa tempoh (Fasa Empat) PPN.

"Pemilik premis berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 76(1) Akta Eksais (menjual minuman keras tanpa lesen) dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor (menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen yang sah),” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram