Sikap pengendali media sosial antara punca Bahasa Melayu rosak, kata pakar


  • Massa
  • Rabu, 01 Dis 2021

MEDIA sosial memiliki kelebihan dan keburukannya terutamanya dalam soal penggunaan bahasa. — Gambar hiasan

PENGGUNAAN bahasa yang tidak terkawal dari aspek aturan bahasa dan tatasusila menyebabkan Bahasa Melayu 'terjebak' dalam kemerosotan mutunya pada masa ini, kata pakar bahasa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, situasi berkenaan memberi kesan kepada masyarakat terutamanya golongan pelajar sehinggakan bahasa yang digunakan dalam media sosial menjadi ikutan.

Tambah Awang, sebahagian pengendali media turut berlumba-lumba bersaing untuk meraih populariti sehingga sanggup menggunakan bahasa yang dikatakan 'mesra khalayak' tetapi menghakis Bahasa Melayu yang teratur dan santun.

"Malahan, ada juga sesetengah ahli akademik menggunakan bahasa rojak atau bahasa pasar dalam media sosial.

"Bahasa rojak untuk perhubungan biasa tidak berapa besar masalahnya kerana dalam perbualan, gurau senda serta percakapan tidak rasmi atau bahasa yang digunakan secara spontan.

"Namun, apabila bahasa rojak digunakan dalam mesyuarat, perhimpunan, kuliah dan bentuk perhubungan rasmi yang lain, kesannya besar dan buruk," ujarnya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Awang berkata, bagi tujuan urusan rasmi, bahasa yang digunakan adalah berasaskan aturan bahasa terutamanya penggunaan tatabahasa.

"Bahasa setiap bangsa yang bertamadun ada ragam bahasa rasminya, seperti ragam fusha dalam bahasa Arab, 'standard English' bagi bahasa Inggeris dan putonghua bagi bangsa Cina. Maka untuk bahasa Melayu rasmi, ada bentuknya yang berlainan daripada bahasa perhubungan biasa.

"Penggunaan bahasa rojak atau bahasa yang tidak baku dalam urusan rasmi menggambarkan disiplin yang rendah dan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan," menurut beliau lagi.

Dalam pada itu, Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pembelajaran Bahasa Melayu sewajarnya bermula dari rumah tetapi ada ibu bapa yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran awal anak-anak mereka.

"Situasi itu berlaku akibat keselesaan mereka sendiri dan ibu bapa banyak terdedah kepada Bahasa Inggeris selain kesedaran kepentingan Bahasa Inggeris dalam dunia pasaran dan antarabangsa.

"Memang wajar mencontohi negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang bangga menggunakan bahasa ibunda mereka, namun perlu difahami bahawa kedua-dua negara terdiri daripada masyarakat homogen dan bukannya pelbagai kaum atau etnik seperti Malaysia. Perkara itu begitu mencabar buat Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram