Ahli akademik saran Bahasa Melayu dijenamakan semula


  • Massa
  • Selasa, 30 Nov 2021

PEMBELAJARAN bahasa Melayu kepada warga asing juga akan membantu meningkatkan tahap bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. — Gambar hiasan/The Star

BAHASA Melayu perlu dijenamakan semula bagi memperkasakan lagi penggunaannya dalam kalangan rakyat di negara ini, demikian saran pakar akademik.

Pensyarah Sejarah Sosial dan Intelektual, institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA),Prof Datuk Ahmad Murad Merican berkata, satu kempen intensif perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk menjenamakan semula bahasa Melayu.

"Di sinilah pentingnya peranan Kementerian Luar dalam melaksanakan diplomasi budaya. Kita amat lemah dalam hal ini. Kita menjalankan diplomasi tanpa mengambil kira konteks tamadun dan budaya Melayu.

"Kementerian Luar mesti memperkenalkan tamadun, budaya dan bahasa Melayu untuk dijadikan sebagai bahasa antarabangsa.

"Ini bukan hanya soal bahasa tetapi kita merangka atau merencanakan satu 'alat' dasar luar dalam memperkenalkan tamadun dan budaya Melayu sebagai asas budaya Malaysia.

"Hanya dengan itu, bahasa Melayu boleh menjadi lingua franca antarabangsa dan kita mula melaksanakannya di rantau ini terlebih dahulu," katanya kepada Majoriti.

Tambah Ahmad Murad, beliau menyarankan kerajaan menubuhkan institut atau pusat budaya Melayu di beberapa kedutaaan di negara ini bagi mengembangkan pengaruh bahasa terbabit di peringkat dunia.

"Di pusat itu, kerajaan boleh memperkenalkan pengajaran atau kelas bahasa Melayu serta tulisan Jawi.

"Selain itu, kerajaan turut boleh memperkenalkan kesusasteraan Melayu atau Malaysia dalam bahasa Melayu serta memaparkan buku-buku tentang tamadun dan budaya Melayu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa 'tuan rumah' kedutaan berkenaan dan bahasa Melayu.

"Di samping itu, wujudkan sekolah antarabangsa yang memberi tumpuan dalam aspek pembelajaran bahasa Melayu," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram