Dari Klang ke Tanjung Pelepas, kontena cuba seludup dadah RM10.97 juta dirampas


  • 112
  • Rabu, 01 Dis 2021

JKDM memaklumkan nilai rampasan dadah di seluruh negara mencecah RM5.23 bilion dari Januari sehingga kini. — Gambar hiasan

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan dua individu untuk menyeludup 304.99 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamin bernilai RM10.97 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor pada 17 November lalu.

JKDM dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, dua individu berkenaan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan kontena berisi dadah sebagai 'Chopped E Glass Fiberglass' di borang eksport.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut mengandungi tujuh palet berisi 278 guni putih dan di dalam guni tersebut terdapat 300 bungkusan plastik lut sinar mengandungi bahan kristal jernih," ujar kenyataan terbabit pada Rabu.

Tambah JKDM, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan nama dan identiti pengirim yang palsu dalam penyediaan dokumen eksport.

"Siasatan juga mendapati kontena berisi dadah itu berlepas dari Pelabuhan Barat, Klang pada 25 Oktober," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dua individu tersebut kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung.

Sementara itu, JKDM berkata, sejak Januari lalu sehingga kini, nilai rampasan dadah di seluruh negara mencecah RM5.23 bilion membabitkan penahanan 19 suspek manakala lapan dihadapkan ke mahkamah.

Selain itu, JKDM merampas dadah jenis methamphetamin seberat 1,192.057kg, amphetamine (16,000kg), ketamin (8kg), heroin (3.84kg) sejak Januari sehingga kini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram