SEORANG remaja maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Taman Hijau, Sitiawan, Perak, awal pagi Selasa.
Mangsa yang dikenali sebagai Nga Hu Chen, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.12 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan bertembung menyebabkan pemandu Perodua Myvi tersepit manakala pemandu Proton X70 mengalami kecederaan dan dikeluarkan orang awam,” ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah jurucakap berkenaan, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azizi Kamaruddin tamat jam 1.55 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram