ISU atau masalah mendesak keperluan rakyat perlu ditumpukan terlebih dahulu berbanding mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal, kata Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.
Penganalisis politik itu berkata, masalah Covid-19 belum selesai sepenuhnya dengan kadar jangkitan harian wabak itu masih lagi tinggi iaitu sekitar lebih 5,000 kes sehari, manakala kes penurunannya pula tidak seperti yang dikehendaki.
Justeru, beliau berkata, kerajaan masih mempunyai masa untuk menyelesaikan isu yang bukan sekadar Covid-19, malah masalah pengangguran, ekonomi yang agak meruncing, serta kenaikan harga barang yang seolah-olah tidak dapat dikawal.
"Jadi, dengan adanya tumpuan atau fokus kerajaan untuk selesaikan isu-isu ini, insya-ALLAH ia boleh selesai," katanya kepada Majoriti.
Ahmad Atory menganggap isu rakyat ketika ini adalah lebih penting berbanding mengadakan PRU15. —Astro Awani
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan, desakan untuk mengadakan PRU15 awal adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan PRU15 perlu dilihat berdasarkan perkembangan kes positif Covid-19 yang membimbangkan dan peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital, serta kemunculan varian baharu, B.1.1.529 di negara Afrika.
"Saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mana pendirian Kementerian Kesihatan bahawa PRU boleh dielakkann berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang tidak dapat dielakkan kerana tempoh pentadbiran sudah tamat.
"Bagi PRN Melaka pula, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, maka ia tidak dapat dielakkan," katanya.
Menyambut baik perkara itu, Ahmad Atory berkata, cadangan Khairy adalah baik untuk kepentingan nasional dan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, PRU15 sepatutnya diadakan pada tahun 2023, yang mana pada tahun itu cukup tempoh 5 tahun bagi penggal bermula 9 Mei 2018.
"Sebaiknya kalau PRU perlu diinjakkan (ditangguhkan), apa salahnya? Ini tidak memberi apa-apa kesan sama ada dari segi demokrasi atau undang-undang.
"Tapi kalau ada PRU diumumkan bulan depan atau 2,3 bulan lagi, jadi tumpuan kerajaan dan rakyat tidak lagi ke arah untuk selesaikan Covid-19, ekonomi atau pengangguran rakyat," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram