Terima rasuah RM27,500, pengurus ladang mengaku tidak bersalah


TERTUDUH (kanan) didakwa melakukan semua kesalahan tersebut antara Julai hingga Disember 2015 di Ladang Tabung Tentera Terengganu di Kemaman. — Bernama

SEORANG bekas pengurus ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin atas enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM27,500 pada tahun 2015.

Sauddin Che Lamin, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan semua pertuduhan, Sauddin didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM27,500 daripada Tham Mun Hing kerana memilih Syarikat TP Parts & Machinery dan Syarikat SS Terus Jaya Enterprise untuk kerja-kerja pembekalan di Ladang Tabung Tentera Terengganu.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan tersebut antara Julai hingga Disember 2015 di Ladang Tabung Tentera Terengganu di Kemaman.

Justeru, Sauddin boleh dihukum di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Sauddin diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan dia melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 3 Januari 2022 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Zaudii Nordin dan tertuduh diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram